Waktu Solat Putrajaya Subuh : 6:01 Syuruk : 7:15 Zohor : 13:22 Asar : 16:26 Maghrib : 19:26 Isyak : 20:34

Aidilfitri disambut sebagai satu kemenangan bagi mereka yang telah menjalani ibadah puasa sebulan di bulan Ramadan dengan sempurna. Kemenangan tersebut bukan hanya sekadar menahan diri daripada lapar dan dahaga malah menahan diri daripada perkara-perkara atau perbuatan yang boleh merosakkan ibadah puasa tersebut. Lantaran itu Allah SWT telah mengurniakan satu hari kemenangan bagi seluruh umat Islam iaitu Hari Raya Aidilfitri.

Tanggal 8 Ogos 2016 (Sabtu), Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) dengan kerjasama Majlis Agama Islam Melaka (MAIM), Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dan NGO’s Negeri Melaka telah menganjurkan Majlis Semarak Kasih Aidilfitri Bersama Saudara Muslim Peringkat Zon Selatan Tahun 2016M/1437H yang bertempat di Masjid Cina, Negeri Melaka.

Program yang melibatkan penyertaan saudara baru dari Negeri Melaka, Negeri Johor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan itu telah dirasmikan oleh YBhg. Datuk Wira Hj. Yaakub bin Md. Amin, Timbalan Pengerusi Majlis Agama Islam Melaka yang mewakili YAB Datuk Seri Ir. Idris bin Haron, Ketua Menteri Melaka. Di dalam ucapan, beliau berkata “ Kerajaan Negeri melalui agensi-agensi di peringkat Negeri Melaka, khususnya majlis dan jabatan agama islam melaka sentiasa berusaha untuk menjaga kebajikan saudara muslim dan kalangan masyarakat orang asli. Pelbagai sumbangan dan bantuan telah diberikan dalam bentuk bantuan bulanan makanan, elaun kehadiran kelas keagamaan, saguhati Aidilfitri dan sebagainya.

Di samping itu, ingin saya mengambil kesempatan di sini dan ingin menyarankan kepada saudara muslim dan juga kita semua supaya sentiasa berusaha untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan terutama ilmu agama. Kini terdapat banyak ruang dan peluang untuk kita menimba ilmu dan hukum hakam cuma pastikan agar kita tidak tersasar kepada ajaran yang menyalahi syariat islam yang sebenar iaitu pegangan Ahli Sunnah Wal Jamaah”.

Sementara itu, YBhg. Dato’ Haji Ali bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim dalam ucapannya merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada semua yang menjayakan program ini khususnya tuan rumah dan agensi yang terlibat yang telah banyak menyumbangkan idea dan bantuan sehingga terlaksana program yang telah disertai oleh 600 orang saudara baharu Muslim itu. Beliau juga sangat menggalakkan program seperti ini dalam memperkukukan akidah serta akhlak saudara-saudara baharu Muslim supaya lebih mengenal erti ajaran Islam yang sebenar. Sehubungan itu, Jakim akan sentiasa membantu lebih-lebih lagi dari sudut kerohanian bersama-sama dengan badan NGO Islam, JAIM, MAIM dan Sekretariat NGO yang lain. “Oleh itu, saudara baharu Muslim haruslah memperkasakan diri mereka dengan ilmu Islam agar mampu berdiri setanding Muslim-muslim yang lain” katanya.

Dalam pada itu. seorang Saudara Muslim yang baru setahun memeluk Islam iaitu Pengetua Sekolah Menengah Kebangsaan Selandar, Ahmad Ramadan Subra yang berusia 50 tahun berkata “Semua rakan meminggirkan saya hanya kerana diberitahu yang saya telah pun memeluk Islam malah isteri saya juga terkejut bila diberitahu demikian pada bulan Ramadan tahun lepas. Ketika itu, saya belajar terima kenyataan andai saya dipinggirkan hanya kerana agama (Islam) yang saya pilih. Saya rela kerana biarlah saya hilang kawan asalkan saya tidak dipinggirkan oleh Allah SWT. Redha, berkat dan kasih sayang Allah lebih bermakna kepada saya berbanding apa yang manusia ada. Biarlah saya tidak ada ramai kawan lagi seperti dulu, saya tidak kisah kerana saya ada Allah SWT. Katanya gembira setelah isteri kemudiannya menerima pendiriannya yang mahu Islam sebagai pegangan hidup mereka sekeluarga”.

Orang ramai selepas itu menyaksikan penyampaian saguhati khas memeluk Islam Saudara Muslim dan cabutan bertuah kepada tetamu-tetamu yang hadir. Majlis juga diakhiri dengan jamuan makan Aidilfitri dan ramah mesra bersama penduduk yang berdekatan.

Dengan penganjuran program seperti ini diharap dapat memberi banyak manfaat dan kebaikan kepada semua pihak khususnya saudara baharu Muslim di seluruh negara dan menjadikan akidah sebagai teras untuk mendapatkan kejayaan cemerlang di dunia dan di akhirat kelak.

Masjid Cina 2

Masjid Cina 3

Masjid Cina 4

Masjid Cina 5

Masjid Cina 16

Masjid Cina 18

Masjid Cina 6

Masjid Cina 7

Masjid Cina 8

Masjid Cina 9

Masjid Cina 10

Masjid Cina 12

Masjid Cina 13

Masjid Cina 11

Masjid Cina 14

Masjid Cina 17

Masjid Cina 15

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 24 Mac 2017.
Jumlah Pelawat :10457627