Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:40 Syuruk : 7:01 Zohor : 13:13 Asar : 16:36 Maghrib : 19:21 Isyak : 20:35

Jakim dengan kerjasama Yayasan Taqwa Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Yayasan Waqaf Malaysia (YWM) telah melakar sejarah apabila berjaya menganjurkan program Luncheon Talk Bersama Penjawat Awam Orang Asli Islam di Hotel Bangi-Putrajaya, Bandar Baru Bangi, Selangor pada 6 September 2016. Program yang julung-julung kali dianjurkan ini telah dirasmikan oleh YB Senator Isa bin Ab Hamid, Senator Dewan Negara (Senator Orang Asli Malaysia).

Turut hadir meraikan para penjawat awam Orang Asli Islam ini adalah YBhg Dato’ Muhammad Olian bin Abdullah, Mantan Senator Dewan Negara, YBhg Dato’ Haji Ali bin Mohammed, Pengarah Bahagian Dakwah Jakim, Tuan Haji Zabidi bin Nasan, Pengurus Besar Yayasan Taqwa MAIWP, Encik Suhaimi bin Mahmud, Timbalan Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA), mewakili Ketua Pengarah JAKOA dan Encik Abdul Halim bin Mat Yusop, Pengurus Bahagian Projek dan Pembangunan Perniagaan mewakili Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Waqaf Malaysia.

Program ini telah berjaya menghimpun seramai 42 orang penjawat awam daripada kalangan masyarakat Orang Asli Islam seluruh tanah air, merangkumi pelbagai sektor dan gred jawatan. Matlamat utama program seumpama ini adalah bagi mewujudkan hubungan interpersonal Jakim dengan penjawat awam Orang Asli Islam, selain mengeratkan silaturahim, memantapkan kesedaran dakwah dan mewujudkan perkongsian maklumat dengan golongan sasar tersebut.  

Program dimulakan dengan tayangan video korporat Jakim dan tayangan video aktiviti dakwah di perkampungan Orang Asli. Program diteruskan dengan sesi forum bertajuk Penjawat Awam Orang Asli: Peranan dan Harapan yang disampaikan oleh Dato’ Muhammad Olian, dan Tuan Mohd Zaidi bin Ramli, Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Dakwah Jakim. Moderator forum tersebut adalah Ustaz Mohd Hariri bin Daud, Penolong Pengarah Unit Indeks Syariah Jakim.

Dalam ucapan aluan yang disampaikan, YBhg Dato’ Haji Ali berkata, ketika ini usaha menyampaikan dakwah dan mengajar masyarakat Orang Asli Islam dilaksanakan oleh 240 Penggerak Masyarakat Orang Asli (PMOA). Tugas dakwah ini juga dilaksanakan oleh para mubaligh dan mu’allim dari Jabatan Agama Islam dan Majlis Agama Islam Negeri.

Namun demikian, bilangan ini terlalu kecil jika dibandingkan dengan jumlah keseluruhan masyarakat Orang Asli seluruh negara yang dianggarkan seramai 40,545 ketika ini, dan 78% daripadanya masih belum Islam. Selain melaksanakan tanggungjawab menyebarkan dakwah, PMOA Jakim ini juga turut berperanan membantu masyarakat Orang Asli Islam dalam urusan seharian seperti perkahwinan, kelahiran dan kematian.

Pengarah Bahagian Dakwah itu juga yakin usaha Jakim untuk meningkatkan jumlah pengislaman masyarakat Orang Asli akan menjadi lebih lancar dan berjaya dengan adanya sokongan dan kerjasama daripada para penjawat awam Orang Asli Islam di negara ini. Ini kerana beliau pasti para penjawat awam tersebut dianggap sebagai golongan berpengaruh dalam kalangan masyarakat Orang Asli.

YB Senator Isa dalam amanatnya berpesan supaya para penjawat awam Orang Asli Islam sentiasa berusaha mempertingkatkan ilmu agama dan menonjolkan imej yang baik kepada masyarakat Orang Asli lainnya. Mereka juga diminta supaya membantu Jakim dan pertubuhan Islam lain untuk mempertingkatkan dakwah di perkampungan Orang Asli.

Senator Dewan Negara itu juga meminta Jakim dengan sokongan JAKOA turut memberi fokus kepada peningkatan ekonomi masyarakat Orang Asli Islam selain kerja-kerja dakwah sedia ada. Perkara ini perlu kerana menurut beliau boleh menarik minat masyarakat Orang Asli lain kepada Islam. Kestabilan ekonomi masyarakat Orang Asli Islam akan menyumbang kepada kejayaan usaha dakwah yang telah sekian lama dijalankan.

Jemputan yang hadir juga diharap dapat memberikan kerjasama kepada badan-badan dakwah, terutamanya Jakim dalam melaksanakan dakwah untuk meningkatkan pengislaman dan memantapkan penghayatan Islam dalam kalangan masyarakat Orang Asli negara ini.

Akhirnya beliau berharap supaya program seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan kerana banyak manfaat yang diperoleh. Harapan beliau juga agar hubungan silaturahim yang baru terjalin akan berterusan untuk kemaslahatan duniawi dan ukhrawi. 

Luncheon Orang Asli 8

Luncheon Orang Asli 1

Luncheon Orang Asli 2

Luncheon Orang Asli 3

Luncheon Orang Asli 4

Luncheon Orang Asli 5

Luncheon Orang Asli 6

Luncheon Orang Asli 7

 

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 22 Mei 2017.
Jumlah Pelawat :10916854