Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:43 Syuruk : 7:06 Zohor : 13:18 Asar : 16:44 Maghrib : 19:27 Isyak : 20:43

Slot Khas “30 Minit Bersama Sekretariat Dakwah Korporat Jakim” di Radio Salam FM

"Saya sangat yakin dan percaya berkaitan usaha-usaha yang dilakukan oleh Jakim khususnya melalui penubuhan Sekretariat Dakwah Korporat yang mengumpulkan 24 buah syarikat korporat ini. Kita dapat berkumpul, berbincang antara satu sama lain berdasarkan kepakaran masing-masing. Kita melihat Jakim ini merupakan sebuah institusi yang berautoriti dalam pengurusan hal ehwal Islam. Kita rasa bertuah kerana kita dapat bernaung di bawah Sekretariat yang diterajui oleh Jakim ini.”

Sumber: Transkrip temu bual Segmen “30 Minit Bersama SDK Jakim” bersama Wakil Tetap TNB di Radio Salam FM, 23 Ogos 2016, Angkasapuri Kuala Lumpur

 

Kuala Lumpur, 23 Ogos 2016 [Selasa] - Sekretariat Dakwah Korporat (SDK) Jakim dengan kerjasama Bahagian Media Jakim telah menjayakan Segmen “30 Minit bersama SDK Jakim” secara langsung di Radio Salam FM. Segmen ini merupakan siri ke-4 yang disiarkan secara langsung bermula 11.15 malam sehingga 11.45 malam dari Konti Asyik FM, Wisma Radio, Angkasapuri, Kuala Lumpur sejak mula dilaksanakan pada 11 Ogos 2015 yang lalu. Keputusan meneruskan segmen ini telah dicapai melalui Mesyuarat SDK Jakim Bil. 8/ 2016 pada 18 Januari 2016 di Malaysia Airlines Academy, Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor. Mesyuarat bersetuju agar segmen ini diteruskan pada tahun 2016 dengan mengekalkan konsep asal pelaksanaannya dan jadual penggiliran syarikat ditetapkan pada minggu ke-4 setiap bulan dengan kekerapan sekali sebulan bermula Ogos 2016. Jadual tersebut adalah seperti berikut :

  1. Siri 4 : 23 Ogos 2016 – Tenaga Nasional Berhad (TNB)
  2. Siri 5 : 27 Septemper 2016 – Bank Islam Malaysia Berhad (BIMB)
  3. Siri 6 : 25 Oktober 2016 – DRB-HICOM Berhad (DRBH)
  4. Siri 7 : 22 November 2016 – Petroliam Nasional Berhad (PETRONAS)
  5. Siri 8 : 27 Disember 2016 – Pos Malaysia Berhad (Pos Malaysia)

Tetamu jemputan khas di konti pada kali ini ialah Y.Bhg. Tuan Haji Fajuri bin Mamat, Ketua Unit Hal Ehwal Islam, TNB Community Engagement & Welfare Centre of Expertise, Bahagian Sumber Manusia Kumpulan TNB, Ibu Pejabat TNB, Kuala Lumpur.

Matlamat utama segmen ini terus dilaksanakan bagi tahun 2016 adalah untuk memberi ruang dan peluang yang sama rata kepada semua syarikat anggota berkongsi pandangan, nasihat dan idea melalui media elektronik yang secara tidak langsung dijadikan medium bagi mendapatkan maklum balas syarikat-syarikat terhadap gerak kerja yang telah dilaksanakan oleh SDK Jakim.

Lima (5) fokus utama yang menjadi pengisian segmen ini termasuklah penjelasan mengenai latar belakang syarikat, peranan syarikat dalam konteks pembangunan dakwah dan Islam, pandangan kritis panel terhadap usaha/ gerak kerja dakwah Jakim bersama sektor korporat Malaysia melalui inisiatif penubuhan SDK Jakim, sudut pandang panel dalam konteks melihat sejauh mana SDK Jakim boleh berperanan secara lebih proaktif dan efektif mendepani cabaran dakwah semasa di samping memberi ruang promosi kepada setiap syarikat untuk mewar-warkan program dan aktiviti semasa syarikat.

Menjelaskan latar belakang syarikat, panel memperkenalkan TNB sebagai sebuah syarikat yang mempunyai kira-kira 35,000 anggota kerja yang menyediakan perkhidmatan kepada lebih daripada 8.3 juta pelanggan di Semenanjung Malaysia dan Sabah (SESB). TNB memainkan peranan utama untuk kemakmuran negara dalam konteks ekonomi dan sosial dengan menyediakan perkhidmatan yang dibangunkan dengan cekap dan berdaya harap. Core business TNB terbahagi kepada 3 iaitu Bahagian Penjanaan, Penghantaran dan Pembahagian tenaga elektrik. Visi TNB adalah untuk menjadi antara badan korporat yang terunggul di dunia bagi mencapai kecemerlangan dalam produk dan perkhidmatan. Manakala Misi TNB adalah beriltizam untuk mencapai kecemerlangan dalam produk dan perkhidmatan. Untuk merealisasikan visi dan misi TNB ini, peranan Bahagian Sumber Manusia Kumpulan sangat signifikan dalam konteks menyediakan anggota kerja yang berkesan, kompeten, cekap, berkualiti dan berupaya untuk menyumbang kepada pencapaian matlamat organisasi.

Secara lebih fokus, panel menjelaskan bahawa TNB adalah sebuah syarikat yang sangat aktif dalam penganjuran program-program keagamaan khususnya untuk anggota kerja dan keluarga TNB sejak sekian lama (TNB dikenali sebagai Lembaga Letrik Malaysia (LLM)) lagi. Hal ini membuktikan, gerak kerja TNB mendapat sokongan penuh daripada pengurusan tertinggi TNB bagi memudahkan urusan penyelarasan meliputi seluruh negeri di mana TNB beroperasi.

Memetik ulasan panel mengenai SDK Jakim, beliau berpandangan:

 

“Melalui usaha penerapan dan penghayatan nilai-nilai Islam sama ada secara langsung mahupun tidak langsung yang telah dilaksanakan di bawah inisiatif SDK Jakim ini, ia dapat membantu membentuk keperibadian anggota kerja yang baik budi pekerti, berakhlak mulia dan berintegriti tinggi di samping membantu pihak pengurusan syarikat mengawal dan mengurangkan kes-kes salah laku dalam syarikat dan seumpamanya”.

“Penglibatan pihak pengurusan tertinggi Jakim dan syarikat-syarikat amat berkesan dalam memberi impak sokongan padu kepada program-program dan aktiviti-aktiviti yang telah dilaksanakan setakat ini. Hal ini memberi satu ruang dan peluang untuk kita saling berkomunikasi, berhubung dan bertukar-tukar pendapat. Jaringan seperti ini membuktikan bukan hanya Jakim yang berperanan dalam menyemarakkan lagi usaha dakwah tetapi secara lebih tepat kita sebenarnya ‘saling melengkapi antara satu sama lain’.”

Secara lebih khusus, panel turut mengulas tentang manfaat bersama yang lebih utama diperolehi melalui inisiatif pewujudan SDK seperti berikut:

 

“Selain itu, melalui penubuhan SDK ini juga sesuatu yang kita perolehi adalah kita dapat membentuk dan memupuk hubungan silaturrahim antara syarikat-syarikat dengan Jakim malah menjadi platform untuk sesama syarikat itu sendiri lebih mengenali antara satu sama lain”.

 

“Jika selama ini kita hanya tahu maklumat asas mengenai syarikat, tiada jaringan seumpama ini tetapi dengan kita disatukan di bawah SDK maka kita saling mengenali dan boleh mendekati antara satu sama lain secara lebih mendalam terutamanya dalam aspek mengetahui program-program keagamaan yang dianjurkan oleh syarikat masing-masing. Secara tidak langsung, manfaat juga kembali kepada syarikat-syarikat anggota yang lain”.

Menutup perbincangan, panel berkongsi hasrat dan harapan bagi kelangsungan SDK Jakim pada masa hadapan seperti mana berikut:

 

“Penubuhan kita masih lagi baru (3-4 tahun). Dengan adanya usaha yang dibuat oleh Jakim melalui pewujudan SDK ini, kita perlu berganding bahu memperkasakannya. Kita memerlukan perancangan yang lebih teliti dan rapi supaya program-program yang kita laksanakan lebih berkesan dan lebih berjaya.”

“Dalam masa yang sama, kita dapat menarik lebih banyak lagi syarikat korporat dalam negara kita untuk bersama-sama kita. Itu harapan kita. Kita juga ingin menarik lebih ramai lagi pihak pengurusan tertinggi syarikat untuk melibatkan diri dalam program dan aktiviti yang kita susun atur bersama.”

“Selain itu, kita juga boleh pergi lebih jauh lagi. Contohnya kita melihat isu-isu di peringkat global seperti isu-isu kemanusiaan. Mudahan kita juga dapat bergerak dalam skala yang lebih besar dan menjadi penggerak untuk membantu masyarakat Islam bukan hanya di Malaysia sahaja tetapi turut melebarkan sayap di peringkat serantau dan antarabangsa.”

 

TNB Salam fm 1

TNB Salam fm 2

TNB Salam fm 3 

 TNB Salam fm 4




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 23 Jun 2017.
Jumlah Pelawat :11150318