Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:46 Syuruk : 7:04 Zohor : 13:14 Asar : 16:30 Maghrib : 19:20 Isyak : 20:31

Majlis Pelancaran Program Qurban Bersama Korporat 1437H/ 2016M

“Alhamdulillah pada tahun ini, hasil kepercayaan dan sokongan padu syarikat-syarikat korporat terhadap program ini, kita telah berjaya meningkatkan sebanyak 45.6 peratus jumlah dana ibadah dan sedekah qurban hasil sumbangan 14 buah syarikat korporat yang bernaung di bawah SDK Jakim. Jumlah ini merupakan peningkatan sekali ganda berbanding jumlah dana terkumpul pada tahun 2015.”

Sumber: Ucapan Ketua Pengarah Jakim, Majlis Pelancaran Program Qurban Bersama Korporat 1437H/ 2016M, 13 September 2016

13 September 2016, Shah Alam – Sekretariat Dakwah Korporat Jakim (SDK Jakim) dengan kerjasama Kumpulan DRB-HICOM Berhad (DRBH) telah menjayakan Majlis Pelancaran Program Qurban Bersama Korporat 1437H/ 2016M. Majllis ini merupakan acara perasmian pelancaran bagi program qurban yang dilaksanakan secara serentak di 51 buah perkampungan Orang Asli Islam dan Saudara Kita seluruh Malaysia termasuk Sabah dan Sarawak bermula 12 hingga 15 September 2016. Acara perasmian pelancarannya disempurnakan oleh Y.Bhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah Jakim mewakili Yang Berhormat Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri.

Turut hadir menyerikan majlis ini, Y.Bhg. Dato’ Sri Syed Faisal Albar Syed AR Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRBH selaku hos program di samping ketua pegawai eksekutif, ketua pegawai operasi, pengurus kanan syarikat-syarikat dan pengurusan tertinggi Jakim. Seramai 484 peserta telah hadir memeriahkan majlis termasuk jemputan khas iaitu pelajar-pelajar tahfiz daripada Maahad Rumi Sufi Jawi dan anak-anak yatim dari Rumah Siraman Kasih, Selangor.

Program ini merupakan antara aktiviti tahunan anjuran SDK Jakim yang telah bermula julung kalinya pada tahun 2015. Bagi tahun 2016, sejumlah 32 ekor lembu berjaya dikumpul melalui program ini dan telah diagihkan kepada 51 buah perkampungan Orang Asli Islam dan Saudara Kita di 10 buah negeri seluruh Malaysia iaitu Sabah, Sarawak, Selangor, Pahang, Perak/ Kedah, Kelantan, Terengganu, Negeri Sembilan dan Melaka.

Mengangkat tema “Iman Disemai, Budi Dilerai, Kasih Dituai”, program yang dilaksanakan di Lobi Wisma Kumpulan DRB-HICOM Berhad sarat dengan pengisian ilmu melalui slot Wacana Ilmu bertajuk “Ibrah di sebalik Rahmat Qurban” yang disampaikan oleh Y.Bhg. Dato’ Dr. Mohd. Izhar Ariff, Pensyarah Fakulti Pengajian Islam, UKM Bangi, Selangor. Acara berikutnya disusuli dengan ucapan daripada Pengarah Urusan Kumpulan DRBH, ucapan pelancaran oleh Ketua Pengarah Jakim dan penyerahan mock-up cheque sumbangan dana qurban kepada 11 orang wakil pengurus program qurban di lokasi dan negeri masing-masing. Memetik ucapan aluan Y.Bhg. Dato’ Sri Syed Faisal Albar Syed AR Albar, Pengarah Urusan Kumpulan DRBH seperti berikut :

“Harapan saya juga agar kerjasama yang telah wujud antara kita akan terus diperkukuhkan dalam usaha memasyarakatkan program-program anjuran Sekretariat Dakwah Korporat melalui pelbagai cara mahupun medium demi kebaikan dan manfaat optimum yang dapat kita kembalikan bersama kepada masyarakat/ ummah”.

Qurban Korporat2016 1

Qurban Korporat2016 2

Qurban Korporat2016 3

Qurban Korporat2016 4

Qurban Korporat2016 5

Qurban Korporat2016 7

Qurban Korporat2016 8

Qurban Korporat2016 9

Qurban Korporat2016 10

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 26 April 2017.
Jumlah Pelawat :10722249