Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:41 Syuruk : 6:56 Zohor : 13:00 Asar : 16:19 Maghrib : 18:59 Isyak : 20:10

“Dalam kegembiraan berganda Malaysia menyambut kejayaan kontinjen negara dalam Sukan Sea 2017 dan sambutan Hari Malaysia pada 16 September yang lalu, negara amat terkejut dan berdukacita dengan tragedi kebakaran Pusat Tahfiz Darul Quran Ittifaqiyah di Datuk Keramat Kuala Lumpur, pada 14 September 2017, yang meragut nyawa 21 orang pelajar dan dua orang tenaga pengajar pusat tahfiz tersebut. Sesungguhnya kecelakaan ini meninggalkan kesan yang amat mandalam kepada seluruh rakyat Malaysia. Kerajaan Persekutuan sendiri sentiasa memberi perhatian utama terhadap perkembangan institusi tahfiz di negara ini bagi memastikan pendidikan tahfiz di Malaysia terus berkembang dengan lebih tersusun dan sistematik, selari dengan kehendak Dasar Pendidikan Tahfiz Negara (DPTN). Oleh itu, bagi memastikan tragedi kebakaran yang cukup tragis seperti ini dapat dielakkan dan tidak berulang lagi pada masa-masa yang akan datang, Kerajaan akan mengambil perhatian serius terhadap aspek keselamatan semua institusi tahfiz swasta di seluruh negara dengan memastikan prasarananya berada dalam keadaan selamat dan mengikut piawaian yang ditetapkan. Selari dengan ini juga, Kerajaan menyokong danbersetuju satu kajian diadakan bagi menyelaras Enakmen Kawalan Sekolah Agama Negeri-negeri, supaya setiap institusi pendidikan Islam yang ditubuhkan dapat dikawal dan berdaftar dengan agensi agama Islam negeri”.

Begitulah antara petikan perutusan YAB Dato’ Sri Mohd Najib bin Tun Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia semasa mempengerusikan Mesyuarat Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Islam (MKI) kali ke-64 pada 19 September 2017 yang lalu.

Isu-isu berbangkit dalam pengurusan institusi tahfiz telah menjadi fokus perbincangan Mesyuarat MKI pada kali ini termasuk bersetuju menerima syor-syor yang telah dikemukakan oleh Mesyuarat High Level Comitee (HLC) Mengenai Task Force Sekolah-sekolah Tahfiz yang dipengerusikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri pada pagi hari yang sama. Antara syor tersebut ialah Jawatankuasa HLC Task Force Sekolah-sekolah Tahfiz menjadi jawatankuasa tetap yang akan diurussetiakan oleh JAKIM, melaksanakan latihan dan kempen kesedaran keselamatan kepada semua institusi tahfiz di seluruh negara dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) melihat semula undang-undang pendaftaran sekolah di bawah Akta Pendidikan.

Sesungguhnya usaha-usaha Kerajaan Persekutuan berkaitan sekolah tahfiz bukanlah bertujuan mencampuri bidang kuasa agama negeri, sebaliknya ia adalah bagi tujuan membantu penyelarasan dan penambahbaikan terhadap institusi tahfiz tersebut. Selain itu, Mesyuarat MKI pada kali ini turut membincangkan cadangan pelaksanaan resolusi Warshah Islah Pendidikan Islam LEPAI dan pelantikan Pengerusi Jawatankuasa Fatwa MKI yang baharu.

Mesyuarat telah dihadiri oleh YB Dato’ Seri Jamil Khir bin Haji Baharom (B) Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YBhg. Tan Sri Dato’ Haji Othman bin Mustapha, Ketua Pengarah JAKIM merangkap Setiausaha MKI, YAB Menteri-Menteri Besar dan YAB Ketua Menteri serta Ahli-ahli Dilantik MKI. Hadir bersama YBhg. Tan Sri Dr. Ali Hamsa, Ketua Setiausaha Negara, YB Senator Dato’ Dr. Asyraf Wajdi bin Dato’ Dusuki, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri-negeri (JAIN).

 

MKI 64 6

MKI 64 5

MKI 64 7

MKI 64 8

MKI 64 9

 

MKI 64 3

MKI 64 2

MKI 64 10

 

 

 

 

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 23 Oktober 2017.
Jumlah Pelawat :12080174