Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:53 Syuruk : 7:10 Zohor : 13:19 Asar : 16:34 Maghrib : 19:25 Isyak : 20:36

Walau dalam serba kekurangan dengan kemudahan pembelajaran yang terhad, 83 orang pelajar Kemboja tetap meneruskan tekad mereka untuk menduduki peperiksaan STAM tahun 2016. Nyata keazaman mereka untuk mendalami ilmu pengetahuan dan memajukan diri begitu tinggi, memandangkan dengan STAM mereka mempunyai peluang yang lebih cerah untuk melanjutkan pelajaran ke peringkat yang lebih tinggi.

Justeru, sebagai sebahagian daripada usaha membantu para pelajar ini mencapai kecemerlangan dalam peperiksaan STAM, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) menerusi Bahagian Kemajuan Islam dengan kerjasama Majlis Tertinggi Pimpinan Umat Islam Kemboja (MAPIK) telah mengadakan Bengkel Kecemerlangan Pelajar STAM Kemboja pada 20 hingga 23 September 2016 di Hotel Mekong View, Phnom Penh Kemboja.

Program yang diadakan buat julung-julung kalinya ini lebih memberi penekanan tentang kaedah dan teknik menjawab soalan peperiksaan STAM yang tepat. Ia dikendalikan sepenuhnya oleh tiga orang guru pakar STAM dari Malaysia yang berpengalaman luas dalam subjek-subjek STAM, iaitu Tuan Ruzlan bin Abd Rahman dari Jabatan Agama Islam Pahang, Tuan Shirozi bin Abdullah dari Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Kedah dan Tuan Hanafi bin Mat Min dari Yayasan Islam Kelantan. Rata-rata pelajar yang ditemui pada akhir program telah melahirkan rasa gembira mereka dengan adanya program ini. Ternyata ia amat membantu mereka dalam membuat persiapan akhir sebelum menduduki peperiksaan STAM pada pertengahan bulan Oktober 2016.

Majlis perasmian penutup telah disempurnakan oleh Oknha SOS KAMRY Ustaz Haji Kamarudin Yusof, Mufti Kerajaan Kemboja. Turut hadir Tuan Yang Terutama (TYT) Dato’ Seri Hassan Malik, Duta Besar Malaysia ke Kemboja. Dalam ucapannya, Ustaz Haji Kamarudin menyatakan bahawa pendidikan Islam di Kemboja masih belum tersusun sepenuhnya dan masih banyak ruang-ruang penambahbaikan yang perlu dilakukan. Justeru, beliau amat berterima kasih kepada Kerajaan Malaysia atas kerjasama dan sumbangan yang dihulurkan dalam membantu membangunkan pendidikan Islam Kemboja. Beliau berharap agar kerjasama dan bantuan seumpama ini dapat diteruskan lagi pada masa-masa yang akan datang termasuk dari aspek latihan guru dan pengurusan sekolah.

Pada kesempatan ini, rombongan dari Malaysia yang diketuai oleh Tuan Haji Azizan Muhammad, Ketua Penolong Pengarah Bahagian Kemajuan Islam Jakim turut berpeluang mengadakan kunjung hormat kepada Oknha Datuk Othsman Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden Pembangunan Umat Islam Kemboja dan sesi ziarah kepada Oknha SOS KAMRY Ustaz Haji Kamarudin Yusof, Mufti Kerajaan Kemboja. Pada ruang tersebut kedua-dua pihak banyak berkongsi pengalaman dalam pembangunan umat Islam khususnya dalam bidang pendidikan Islam antara kedua-dua negara. Di samping itu, lawatan turun padang ke Sekolah Dubai Islamiyyah Phnom Penh juga turut diadakan bagi melihat dengan lebih dekat institusi pendidikan Islam di Kemboja.

Sesungguhnya bantuan yang dihulurkan oleh Kerajaan Malaysia dalam memperkasakan pendidikan umat Islam Kemboja ini amat signifikan dengan keperluan semasa disaat mereka berusaha untuk keluar daripada ruang lingkup sedia ada kepada ummah yang maju dan berdaya saing dalam segenap bidang.

kursus stam kemboja 2

 

kursus stam kemboja 13

 

kursus stam kemboja 14

 

kursus stam kemboja 22

 

kursus stam kemboja 4

 

kursus stam kemboja 5

 

kursus stam kemboja 10

Kunjungan Oknha SOS KAMRY Ustaz Haji Kamarudin Yusof, Mufti Kerajaan Kemboja

kursus stam kemboja 26

Kunjungan Kedutaan Malaysia

kursus stam kemboja 25

Kunjungan Oknha Datuk Othsman Hassan, Menteri di Jabatan Perdana Menteri merangkap Presiden Pembangunan Umat Islam Kemboja

kursus stam kemboja 24

kursus stam kemboja 29

 

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 18 Ogos 2017.
Jumlah Pelawat :11528226