Waktu Solat Putrajaya Subuh : 6:00 Syuruk : 7:14 Zohor : 13:22 Asar : 16:24 Maghrib : 19:25 Isyak : 20:34

MULTAQA’ MURABBI UMMAH

PERINGKAT NEGERI PAHANG TAHUN 2017

Pada : 20 Februari 2017 ( Isnin)

Tempat: Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara, Temerloh Pahang

 

Bahagian Kemajuan Islam, Jabatan Kemajuan Islam Malaysia ( JAKIM) dengan kerjasama Jabatan Agama Islam Pahang ( JAIP ) telah mengadakan Multaqa’ Murabbi Ummah bertempat di Dewan Serbaguna, Institut Kemahiran Tinggi Belia Negara Temerloh di Lanchang, Pahang. Program ini telah dihadiri lebih kurang 1500 orang peserta yang melibatkan Imam, Jawatankuasa Masjid, Guru Takmir, Guru KAFA, Guru SMAN, Guru Pondok, Guru dan Pelajar Sekolah Tahfiz serta Pegawai Kader JAKIM dari seluruh Negeri Pahang.

Multaqa ini dimulakan dengan sesi ceramah oleh Dr Haji Abdullah bin Ismail, Penasihat Maahad Tahfiz Pahang yang bertajuk Memartabatkan Keunggulan Umat Islam dan diikuti dengan forum yang bertajuk Menguruskan Konflik dan Perbezaan Pemikiran Politik Umat Islam dengan ahli panelnya YBhg. Dato’ Haji Badlishah bin Alaudin dari JAIP dan Us Haji Zamri bin Shafik, dari Jabatan Pengurusan Rangkaian Media Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia manakala moderator oleh Ustaz Ahmad Shukri bin Mohd Sudin dari Bahagian Pendidikan JAIP.

Majlis perasmian multaqa dimulakan dengan ucapan aluan oleh YB. Dato’ Syed Ibrahim bin Syed Ahmad, Pengerusi Jawatankuasa Dakwah Islamiah dan Tugas-tugas Khas Negeri Pahang. Dalam ucapannya, beliau menasihatkan kepada para peserta supaya sentiasa bersatu padu dan bekerjasama antara satu sama lain dalam memartabatkan Islam. Beliau turut menekankan soal perpaduan negara dan umat Islam yang berteraskan konsep wasatiyyah sebagai agenda utama kerajaan. Dan para murabbi ummah merupakan tunggak utama dalam menyatupadukan umat Islam serta menjadikan institusi masjid sebagai satu institusi yang dihormati dan harmoni.

Seterusnya ucapan perasmian disempurnakan oleh YB. Mejar Jeneral Dato’ Seri Jamil Khir bin Hj Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Dalam ucapannya, beliau menyeru kepada para peserta agar dapat melaksanakan tanggungjawab sebagai khalifah dengan baik di samping menjadikan institusi masjid dan institusi pendidikan islam sebagai penjana pembangunan insan syumul. Beliau juga mengucapkan terima kasih dan tahniah kepada Kerajaan Negeri Pahang atas usaha yang dilaksanakan bagi membangunkan institusi masjid dan pendidikan islam. Beliau juga menyeru rakyat malaysia agar melakukan tabayyun terhadap sesuatu berita yang diterima bagi memastikan ia bukanlah sesuatu yang berbentuk fitnah yang ditularkan. Perbezaan khilaf dan pandangan haruslah dirungkai dalam bentuk yang baik bagi mewujudkan masyarakat yang aman dan sentosa.

Turut hadir dalam majlis perasmian tersebut ialah YBhg Speaker DUN, Exco-Exco Kerajaan Negeri, Timbalan Pengarah JAIP, Pegawai Daerah Temerloh, Al-Fadhil Qadhi Daerah Temerloh serta pegawai-pegawai kanan kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Dalam majlis itu, YBhg. Tan Sri Dato’ Ketua Pengarah JAKIM telah menyampaikan replika cek peruntukan Kerajaan Persekutuan kepada kerajaan negeri Pahang bagi bayaran imbuhan imam, elaun guru takmir dan guru KAFA sebanyak RM 46,028,760.00 serta peruntukan one-off imbuhan untuk bilal dan siak sebanyak RM 888,000.00.

Kerajaan Negeri Pahang juga telah menyampaikan tiga anugerah tokoh, iaitu Tuan Haji Ishak bin Ismail dinobatkan sebagai Tokoh Imam, YBhg. Dato’ Reduan Harun dari Daerah Temerloh sebagai Tokoh Guru Takmir manakala Tokoh Guru KAFA ialah Hajah Rasitah binti Md Din. Mereka mendapat sumbangan saguhati sebanyak RM2,000.00 seorang, sijil penghargaan dan plak.

 

multaqa pahang1

 

multaqa pahang2

 

multaqa pahang3

 

multaqa pahang4

 

multaqa pahang5

 

multaqa pahang6

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 24 Mac 2017.
Jumlah Pelawat :10466055