Waktu Solat Putrajaya Subuh : 6:00 Syuruk : 7:15 Zohor : 13:22 Asar : 16:25 Maghrib : 19:25 Isyak : 20:34

Bermula 4 Oktober 2016 hingga 28 November 2016 iaitu selama 8 minggu, seramai 21 orang Pendakwa Syarie gred LS 27 ke atas dari seluruh Malaysia akan menjalani Program Sangkutan Pendakwa Syarie di Jabatan Peguam Negara/ Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Seluruh Malaysia / Pejabat Peguam Kanan Persekutuan Negeri Sabah. Program Sangkutan Pendakwa Syarie ini merupakan inisiatif yang dilaksanakan oleh Jakim melalui Bahagian Penyelarasan Undang-Undang (BPUU) dalam menyahut seruan kerajaan agar melaksanakan National Blue Ocean Strategy (NBOS). Justeru, jalinan kerjasama strategik antara Jakim, Jabatan Agama Islam Negeri dan Jabatan Peguam Negara merupakan suatu sinergi untuk membawa bidang Pendakwaan Syariah ke arah profesionalisme melalui perkongsian kemahiran dan ilmu Pendakwaan sivil.

Berdasarkan maklum balas positif yang diperoleh daripada dua siri Program Sangkutan Pendakwa Syarie pada tahun 2014 dan 2015 yang mendapati terdapat peningkatan kompetensi dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas-tugas pendakwaan, maka program ini mendapat persetujuan YBhg. Tan Sri Peguam Negara untuk diteruskan lagi pada tahun 2016. Secara umumnya, Program Sangkutan ini terdiri daripada dua komponen iaitu komponen 1 iaitu Kursus Khas Pendakwaan Syariah selama 5 hari manakala Komponen 2 pula ialah Program Sangkutan Pendakwa Syarie Di Jabatan Peguam Negara / Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri Seluruh Malaysia/ Pejabat Peguam Kanan Persekutuan Negeri Sabah selama 8 minggu.

Bertempat di Klana Resort Seremban, Negeri Sembilan pada 19-23 September 2016 yang lalu, Pendakwa Syarie yang dicalonkan dan mendapat pelepasan daripada Ketua Jabatan masing-masing untuk menjalani program sangkutan ini telah menghadiri Kursus Khas Pendakwaan Syariah Siri 3/2016. Dalam kursus tersebut, para peserta telah didedahkan dengan ilmu pendakwaan sivil dan syariah oleh penceramah yang diundang daripada Jabatan Peguam Negara dan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia sebagai persediaan sebelum ditempatkan di agensi sangkutan masing-masing. Aspek yang disentuh dalam kursus ini ialah penyediaan Kertas Siasatan, Merakam Pernyataan Saksi, Merangka Pertuduhan, Keterangan Dokumentari, Tatacara Pra–Perbicaraan dan Amali Mock Trial. Turut dibincangkan ialah Tatacara Kes Mengaku Salah dan Kes Tak Mengaku Salah, Tatacara Perbicaraan : Pemeriksaan Utama, Tatacara Perbicaraan : Pemeriksaan Balas, Tatacara Perbicaraan : Pemeriksaan Semula, Penyediaan Notis Usul, Bantahan, Hujahan dan juga Hujahan Penggulungan.

Selain itu, para peserta juga berpeluang mengikuti prosiding perbicaraan di Mahkamah Persekutuan di Istana Kehakiman, Putrajaya untuk menambahkan ilmu dan pengalaman. Aktiviti team building juga diadakan secara santai bagi mengeratkan silaturahim di samping merehatkan minda. Majlis Perasmian Penutup kursus telah disempurnakan oleh YBhg. Dr. Arik Sanusi bin Yeop Johari, Pengarah Seksyen Syariah, Bahagian Penasihat Jabatan Peguam Negara mewakili Jabatan Peguam Negara. Turut hadir dalam majlis tersebut ialah YBhg. Tuan Aziz bin Hj. Mohamad, Pengarah BPUU dan Tuan Mohamad Kori bin Jusoh, Ketua Penolong Pengarah Kanan BPUU.

Menjadi harapan Jakim dan BPUU agar para Pendakwa Syarie yang telah dipilih menjalani sangkutan ini dapat menggunakan sebaik-baik peluang yang telah diberikan dengan mengaplikasikan segala ilmu dan kemahiran yang diperoleh sepanjang kursus khas dan program sangkutan ini. Semoga Program Sangkutan ini dapat meningkatkan lagi kredibiliti, kompetensi dan profesionalisme dalam melaksanakan tugas-tugas pendakwaan Syariah yang semakin mencabar.

 

 gambar1

 YBhg. Dr. Arik Sanusi bin Yeop Johari, Pengarah Seksyen Syariah, Bahagian Penasihat, Jabatan Peguam Negara menyampaikan taklimat Program Sangkutan Pendakwa Syarie Bagi tahun 2016. Turut hadir menyampaikan taklimat ialah Tuan Mohamad Kori bin Jusoh, Ketua Penolong Pengarah Kanan, BPUU.

gambar2

Penceramah jemputan, Tuan Hamdan bin Hamzah, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara menyampaikan slot penyediaan Kertas Siasatan iaitu Tuan Hamdan bin Hamzah, Timbalan Pendakwa Raya, Bahagian Perbicaraan dan Rayuan, Jabatan Peguam Negara.

gambar3

Para peserta kursus terdiri daripada Pendakwa Syarie seluruh Malaysia yang telah dicalonkan menjalani Program Sangkutan Pendakwa Syarie di Jabatan Peguam Negara/ Pejabat Penasihat Undang-Undang Negeri /Pejabat Peguam Kanan Persekutuan Negeri Sabah sedang tekun mendengar ceramah daripada para penceramah yang berkaliber.

gambar4

Sesi Latihan Mock Trial dikendalikan oleh Tuan Hamdan bin Hamzah.

gambar5

Slot ceramah Tatacara Kes Mengaku Salah Dan Tatacara Kes Tak Mengaku Salah disampaikan oleh Dr. Budiman Lutfi bin Mohamed, Timbalan Pendakwa Raya Bahagian Pendakwaan, Jabatan Peguam Negara.

gambar6

Aktiviti Team Buliding untuk mengeratkan silaturarhim dan merehatkan minda.

gambar8

Lawatan Ke Istana Kehakiman Putrajaya dan mengikuti prosiding perbicaraan di Mahkamah Persekutuan.

gambar10

Tuan Aziz bin Hj. Mohamad, Pengarah BPUU menyampaikan ucapan aluan di Majlis Perasmian Penutup Kursus KhasPendakwaan Syariah Siri 3/2016

gambar11

YBhg. Dr. Arik Sanusi bin Yeop Johari mewakili Jabatan Peguam Negara menyampaikan ucapan perasmian penutup.

gambar12

Penyampaian Sijil Penyertaan dan Kit Program Sangkutan Pendakwa Syarie kepada salah seorang peserta iaitu Tuan Mohd Asri bin Taib, Ketua Pendakwa Syarie Negeri Perlis.

gambar14

Peserta bergambar kenangan dengan YBhg. Dr. Arik Sanusi bin Yeop Johari,Tuan Aziz bin Hj. Mohamad dan barisan urus setia




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 24 Mac 2017.
Jumlah Pelawat :10462999