Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:52 Syuruk : 7:09 Zohor : 13:19 Asar : 16:31 Maghrib : 19:24 Isyak : 20:34

jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
YB MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
 
BERKENAAN
 
MAJLIS TILAWAH DAN MENGHAFAZ AL-QURAN PERINGKAT ANTARABANGSA (MTHQA)
KE-59 TAHUN 1438H/ 2017M
_____________________________________________________________________________________
 
Sukacita dimaklumkan bahawa Kerajaan Malaysia melalui Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) akan menganjurkan Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa (MTHQA) Ke-59 Tahun 1438H/2017M yang dijadualkan selama 6 hari bermula pada 15 hingga 20 Mei 2017M (Isnin hingga Sabtu) bersamaan 18 hingga 23 Syaaban 1438H bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
 
Untuk makluman, Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa ini akan bermula pada 15 hingga 19 Mei 2017M (Isnin hingga Jumaat) pada jam 8.45 malam hingga 11.00 malam manakala Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa pada 16 hingga 18 Mei 2017M (Selasa hingga Khamis) bermula jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari.
 
Majlis yang berprestij ini akan disempurnakan oleh Kebawah Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong sempena Majlis Penutupan Dan Penyampaian Hadiah pada 20 Mei 2017M (Sabtu) jam 8.45 malam.   

Pada tahun 2016, Malaysia telah diiktiraf sebagai Penganjur Program Al-Quran Terbaik Peringkat Antarabangsa oleh Negara Kuwait Tahun 2016. Manakala pada tahun 2017 ini juga, beberapa peserta Malaysia telah meneruskan kejayaan masing-masing di musabaqah tilawah dan hafazan peringkat antarabangsa termasuk yang dianjurkan oleh negara-negara bukan Islam. Sebagai contoh :
 
Pertandingan “The ASEAN Al-Quran Recital Competition During Thailand’s Mawlid Celebration 1438H” yang telah diadakan di Bangkok, Thailand pada 7 hingga 11 April 2017 yang lalu, dua peserta negara telah mengharumkan nama negara iaitu Pn. Nor Azrah binti Hj. Ayob telah mendapat Johan dan En. Abdullah Fahmi bin Che Nor telah mendapat tempat ke-3. Masing-masing berjaya membawa pulang hadiah wang tunai beserta sijil dan piala iringan.
 
 
JEMPUTAN NEGARA DAN PESERTA MTHQA KE-59
 
Pada edisi 2017 ini, sejumlah 70 buah negara termasuk Malaysia secara keseluruhan telah dijemput untuk menyertai Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa di Kuala Lumpur. 22 buah negara dijemput bagi kategori Tilawah Al-Quran di mana setiap negara berpeluang menghantar seorang Qari dan seorang Qariah. Malaysia akan diwaklili oleh Johan Qari dan Qariah Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2017 yang telah berlangsung di Melaka pada 02 hingga 08 April 2017 yang lalu iaitu En. Wan Fakhrul Razi bin Wan Mohamad dari Wilayah Persekutuan dan Pn. Normalina binti Alias dari Negeri Sembilan.
 
Manakala bagi kategori Hafazan Al-Quran pula, sebanyak 24 buah negara telah dijemput menyertainya di mana kebanyakannya terdiri dari negara-negara Timur Tengah, Afrika dan beberapa negara yang lebih kepada bacaan secara tadwir (tanpa tarannum). Menerusi kategori ini, Malaysia akan diwaklili oleh Johan Lelaki dan Wanita Kategori 30 Juzuk Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 2017 yang lalu iaitu En. Mohamad Syazani bin Jemy dari Negeri Johor dan Cik Nur Amalina binti Azharuddin dari Negeri Melaka. Sementara itu, sebanyak 24 buah negara dijemput secara pilihan terbuka, dimana negara-negara tersebut boleh membuat pilihan sama ada mengemukakan peserta bagi Kategori Tilawah atau Kategori Hafazan.        
 
Untuk makluman, bagi kategori Tilawah Al-Quran yang akan berlangsung selama 5 hari bermula 15 hingga 19 Mei 2017 (Isnin hingga Jumaat) ini melibatkan seramai 38 orang peserta yang melepasi tahap saringan dan bertanding di peringkat akhir. Manakala bagi kategori Menghafaz Al-Quran yang akan berlangsung selama 3 hari bermula 16 hingga 18 Mei 2017 (Selasa hingga Khamis) pula melibatkan seramai 30 orang peserta yang melepasi tahap saringan dan bertanding di peringkat akhir. Para peserta yang tiba di Malaysia akan melalui sesi saringan awal pada 13 dan 14 Mei 2017 di hotel penginapan peserta. 
 
 
JURI HAKIM
 
Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa Ke-59 pada tahun ini akan dihakimi oleh 15 orang hakim dari pelbagai negara termasuklah Malaysia, Arab Saudi, Mesir, Jordan, Indonesia dan lain-lain. Bagi kategori Tilawah Al-Quran penghakiman akan dinilai dari aspek Tajwid, Fasohah, Tarannum dan Suara. Manakala bagi kategori Menghafaz al-Quran pula terdapat 2 aspek tambahan penilaian iaitu dari sudut hafazan dan kelancaran bacaan
 
 
HADIAH KEPADA PEMENANG
 
Alhamdulillah pada tahun ini masih diberikan rezeki yang istimewa kepada Johan kedua-dua kategori tilawah dan menghafaz bagi MTHQA Tahun 2017 ini. Selain daripada hadiah wang tunai yang disediakan oleh Kerajaan, pihak Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) sekali lagi bermurah hati menaja hadiah Kepingan Emas (Gold Bar) bagi kedua-dua kategori.
 
Hadiah- hadiah yang ditawarkan kepada peserta adalah seperti berikut:
 
1) Kategori Tilawah Al-Quran:
 
i) Johan Qari dan Qariah :
 
a) Kepingan Emas (Gold Bar) bernilai RM 70,000.00 Sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)
b) Piala Iringan
c) Wang Tunai RM 40, 000.00
        
ii) Naib Johan Qari dan Qariah : Wang Tunai RM 30, 000.00
iii) Tempat Ketiga Qari dan Qariah : Wang Tunai RM 20, 000.00
iv) Tempat Keempat Qari dan Qariah : Wang Tunai RM 15, 000.00
v) Tempat Kelima Qari dan Qariah : Wang Tunai RM 10, 000.00
vi) Hadiah Saguhati : Wang Tunai RM 3,000.00
  • Selain itu, setiap peserta akan menerima cenderamata dan sijil penyertaan.
 
2) Kategori Menghafaz Al-Quran :
 
i) Johan Lelaki dan Wanita :
 
a) Kepingan Emas (Gold Bar) bernilai RM 50,000.00 Sumbangan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM)
b) Piala Iringan
c) Wang Tunai RM 20, 000.00
        
ii) Naib Johan Lelaki dan Wanita: Wang Tunai RM 15,000.00
iii) Tempat Ketiga Lelaki dan Wanita: Wang Tunai RM 10,000.00
iv) Hadiah Saguhati : Wang Tunai RM 3,000.00
  • Selain itu, setiap peserta akan menerima cenderamata dan sijil penyertaan
 
Pihak penganjur mengucapkan penghargaan dan setinggi terima kasih kepada Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) kerana bersetuju untuk meneruskan sumbangan hadiah Kepingan Emas (Gold Bar) kepada Johan Qari dan Qariah bagi kategori Tilawah Al-Quran serta Johan Menghafaz Lelaki dan Wanita.
 
TEMA PENGANJURAN MTQHA – “UKHUWAH ISLAMIAH ASAS PENYATUAN UMMAH”            
 
Pemilihan tema ini juga sebenarnya amat bertepatan dengan usaha Kerajaan yang sentiasa konsisten dalam membentuk hubungan yang baik mengikut acuan syariat Islam ke atas ketamadunan ummah sehingga berupaya menyusun dan mengatur lanskap kehidupan masyarakat yang pelbagai dan mewujudkan konsep Unity in Diversity – penyatuan dalam kepelbagaian.
 
Penganjuran Majlis Tilawah Dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa secara tahunan oleh Kerajaan Malaysia menzahirkan komitmen pihak Kerajaan dalam menerapkan budaya minat membaca terhadap al-Quran dan memahami intipatinya serta mengaplikasikan tuntutan dan larangan Yang Maha Esa dalam amalan kehidupan kita seharian.           
 
Sehubungan dengan itu, mohon jasa baik pihak media membuat hebahan penganjuran majlis ini dan membuat liputan Majlis Tilawah Al-Quran Peringkat Antarabangsa bermula 15 hingga 19 Mei 2017 (Isnin hingga Jumaat) jam 8.45 malam hingga 11.00 malam dan Majlis Menghafaz Al-Quran Peringkat Antarabangsa bermula 16 hingga 18 Mei 2016 (Selasa hingga Khamis) jam 9.00 pagi hingga 12.00 tengah hari bertempat di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur.
 
Orang ramai turut dijemput hadir bagi menyaksikan secara langsung kehebatan bacaan para peserta dan kemeriahan penganjuran majlis ini. Selain itu, majlis tilawah ini turut ditayangkan secara langsung menerusi saluran RTM TV1 (bagi kategori Tilawah – sesi malam) dan saluran TV Al-Hijrah (bagi kategori Menghafaz – sesi pagi) dan radio-radio di bawah seliaan RTM di samping radio IKIM.FM. Malah majlis ini juga boleh ditonton oleh masyarakat di seluruh dunia melalui live streaming di web TV Jakim dengan melayari laman sesawang www.tvjakim.my
 
Sekian, terima kasih. 
 
 
YB MEJAR JENERAL DATO’ SERI JAMIL KHIR BIN HJ. BAHAROM (B)
MENTERI DI JABATAN PERDANA MENTERI
05 Mei 2017
 
 
Kenyataan Media Berkenaan MYHQA2017 2
 
Kenyataan Media Berkenaan MYHQA2017
 
 
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 22 August 2017.
Jumlah Pelawat :11564657