Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:52 Syuruk : 7:09 Zohor : 13:19 Asar : 16:31 Maghrib : 19:24 Isyak : 20:34

jata negara small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

BERKENAAN

BUFET RAMADHAN
_______________________________________________________

1. Beberapa minggu lagi umat Islam di seluruh dunia akan menyambut kedatangan bulan Ramadhan al-Mubarak. Bulan yang sangat dinanti-nantikan kerana di dalamnya penuh dengan keberkatan, kerahmatan dan keampunan  serta menjanjikan ganjaran pahala yang sangat besar bagi mereka yang ingin mempertingkatkan amalan ketakwaan dengan penuh keimanan.

2. Kerahmatan dan keberkatan bulan Ramadhan ini turut dirasai oleh para peniaga dalam industri makanan untuk mereka melipat gandakan hasil perniagaan dalam bulan yang penuh kemuliaan ini. Sudah pasti kebanyakan premis perniagaan akan mula mempromosikan juadah berbuka puasa dan perkara yang sama juga akan dilakukan oleh hotel-hotel serta premis-premis makanan di Malaysia dalam menawarkan pakej bufet Ramadhan.

3. Oleh yang demikian dalam memastikan kemaslahatan ummah terpelihara, JAKIM dan JAIN komited dalam menjalankan aktiviti pemantauan dan pemeriksaan ke atas premis yang mempromosikan hidangan atas nama “bufet Ramadhan”. Hal ini bagi memastikan premis makanan tersebut mempunyai Sijil Pengesahan Halal Malaysia sebelum menggunakan sebarang penandaan atau ungkapan halal.

4. Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 di bawah seksyen 29 ada menjelaskan tentang penggunaan apa-apa ungkapan halal yang membawa maksud halal seperti ‘bufet Ramadhan’ dan lain-lain perkataan atau objek atau lambang Islam adalah tidak dibenarkan dan  boleh dikenakan denda sehingga RM200,000 ( Ringgit Malaysia Dua Ratus Ribu Sahaja).

5. Sehubungan itu, Jakim menyarankan para peniaga yang berminat untuk mempromosikan juadah berbuka puasa di premis atau hotel  agar patuh pada setiap garis panduan sedia ada dan undang-undang yang ditetapkan. JAKIM amat prihatin dalam perkara ini dan mengingatkan kepada setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa mematuhi piawaian Pensijilan Halal Malaysia dari semasa ke semasa. Para peniaga adalah digalakkan untuk merujuk kepada pihak berkuasa (Jakim & JAIN) sebelum menggunakan ungkapan halal bagi mengelakkan timbul sebarang permasalahan

6. Sempena kedatangan Ramadhan yang mulia ini, Jakim menyeru pengguna atau syarikat serta organisasi yang ingin mengadakan majlis berbuka puasa agar  bijak  memilih premis dan hotel yang telah memiliki Sijil Pengesahan Halal Malaysia. Ianya bukan sahaja dijamin halal, malahan toyyiban iaitu suci, bersih, selamat dan mengikut standard dan garis panduan halal yang telah ditetapkan. Sekiranya pengguna masih ragu-ragu dengan status halal produk yang disajikan di bufet Ramadhan, pengguna boleh menghubungi Bahagian Hab Halal, JAKIM di talian 03-88925000 / 5001  dan semakan status halal juga boleh dibuat melalui Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my  serta di aplikasi telefon pintar MyJakim.

Sekian.


TAN SRI DATO’ HAJI OTHMAN BIN MUSTAPHA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA

8 MEI  2017M
11 SYA’BAN 1438H

 




QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Last Updated : 22 August 2017.
Jumlah Pelawat :11564657