Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:58 Syuruk : 7:12 Zohor : 13:20 Asar : 16:21 Maghrib : 19:24 Isyak : 20:33

Jakim logo white small
 
KENYATAAN MEDIA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM MALAYSIA
 
BERKENAAN
 
BUFET RAMADHAN
 
  1. Beberapa hari lagi umat Islam akan menyambut bulan Ramadhan al-Mubarak. Kedatangan Ramadhan yang penuh barakah ini, sangat dinantikan kerana pada bulan ini menjanjikan ganjaran akhirat yang sangat besar bagi mereka yang ingin mempertingkatkan amalan ketakwaan dan keimanan.

  2. Ramadhan juga menjanjikan peluang yang luas kepada peniaga dalam industri makanan untuk melipat gandakan hasil serta mewujudkan usahawan-usahawan baru yang pertama kali berkecimpung ke alam perniagaan. Sudah pasti banyak premis perniagaan yang akan mempromosikan juadah berbuka puasa atau bufet Ramadhan.

  3. Sehubungan itu, Jakim menyarankan agar peniaga-peniaga yang berminat untuk mempromosikan juadah berbuka puasa di premis mereka agar patuh pada setiap garis panduan sedia ada dan undang-undang yang ditetapkan. Para peniaga adalah digalakkan untuk memohon pensijilan halal Malaysia bagi mengelakkan permasalahan masa akan datang.

  4. Sebagai makluman premis makanan yang tidak memiliki sijil halal dan menggunakan ungkapan ‘bufet Ramadhan’ boleh dikenakan denda maksimum sebanyak RM1 juta di bawah Akta Perihal Dagangan 2011 (Takrifan Halal). Melalui perintah ini, logo halal dan ungkapan halal seperti ‘ditanggung halal’, ‘makanan orang Islam’, ‘bufet Ramadhan’ dan lain-lain lambang Islam yang boleh mengelirukan serta memperdayakan umat Islam adalah dilarang.

  5. JAKIM amat memandang serius perkara ini dan mengingatkan kepada setiap pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia agar sentiasa mematuhi piawaian Pensijilan Halal Malaysia dari masa ke semasa. Tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana pihak yang melakukan pelanggaran terhadap pematuhan piawaian pensijilan halal ini.

  6. JAKIM dan JAIN akan sentiasa menjalankan aktiviti pemantauan dan penguatkuasaan ke atas premis yang mempromosikan bufet Ramadhan ini bagi memastikan makanan itu halalan toiyiban.

  7. Sekiranya pengguna masih ragu-ragu dengan status halal produk yang disajikan di bufet Ramadhan, pengguna boleh menghubungi Bahagian Hab Halal, JAKIM di talian 03-88925000 / 5001 dan semakan status halal juga boleh dibuat melalui Direktori Halal Malaysia di www.halal.gov.my.

 
“BERKHIDMAT UNTUK NEGARA”
 
Saya Yang Menurut Perintah,
 
DATO’ HAJI OTHMAN MUSTAPHA
KETUA PENGARAH
JABATAN KEMAJUAN ISLAM Malaysia
 
23 MEI 2016M
16 SYAABAN 1437H
 
 
Lampiran :
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 31 Mac 2017.
Jumlah Pelawat :10507940