Kontrak Wadi'ah

Tarikh Disiarkan: 
30 Jun, 2010
Sumber: 
Utusan Online
Oleh WAN JEMIZAN WAN DERAMAN 
 
KONTRAK Wadi'ah sangat diperlukan oleh masyarakat untuk memudahkan kehidupan mereka. Lebih-lebih lagi dalam kesibukan dunia masa kini yang memerlukan bantuan pihak lain untuk menjaga dan memelihara harta yang dimiliki.
 
Untuk tujuan keselamatan, kadang-kadang kita terpaksa menyerahkan urusan menjaga harta kepada pihak lain yang mempunyai kepakaran.
 
Justeru, pemilik harta dibenarkan untuk meletakkan harta yang dimiliki di bawah penjagaan pihak lain dengan syarat pihak tersebut mempunyai sifat amanah dan bertanggungjawab.
 
Ini sejajar dengan gesaan Allah SWT melalui surah An-Nisa' ayat 58. Ini bermakna, sebelum meletakkan simpanan di bawah jagaan orang lain, hendaklah dipastikan individu tersebut mempunyai sifat amanah. Maka barang siapa yang telah diamanahkan untuk menjaga barangan milik orang lain, perlu menjaganya seolah-olah barang tersebut adalah miliknya. Hendaklah menyayanginya sebagaimana dia menyayangi sesuatu yang dimilikinya. Firman Allah SWT: …hendaklah yang dipercayai itu menunaikan amanah… Rasulullah SAW juga bersabda: "Serahkanlah amanah kepada orang yang mempercayaimu, dan jangan kamu khianati orang yang mengkhianatimu."
 
Dari sudut bahasa, wadi'ah bermaksud menyimpan sesuatu yang disimpan bukan pada pemiliknya untuk dijaga. Terdapat dua pengertian dari sudut istilah. Yang pertama, pengertian yang dikemukakan oleh ulama mazhab Hanafi iaitu: "Mengikut sertakan orang lain dalam menjaga harta, sama ada melalui lafaz yang jelas, perbuatan atau isyarat."
 
Pengertian kedua adalah sebagaimana yang dikemukakan oleh Jumhur (selain Hanafi) "Mewakilkan orang lain untuk menjaga harta tertentu dengan cara tertentu." (rujuk Mughni Muntaj, jilid III, ms 79).
 
Ulama Hanafiyah menyatakan bahawa rukun wadi'ah adalah ijab (lafaz serahan daripada pemilik barang) dan qabul (ungkapan menerima simpanan oleh orang yang menjaga). Akan tetapi, jumhur ulama mengatakan bahawa terdapat empat rukun;
 
1. Muwaddi' ( Orang yang mengamanahkan).
2. Wadi' (Orang yang diamanahkan).
3. Wadi'ah ( Barang yang diamanahkan).
4. Sighoh ( Ijab dan qabul).
 
Dalam dunia perbankan Islam, Wadi'ah adalah antara jenis perkhidmatan yang disediakan oleh pihak bank kepada pelanggan.
 
Biasanya, ia dikenali sebagai Akaun Simpanan Wadiah. Pelanggan atau pendeposit akan membuat simpanan dalam akaun ini yang berasaskan kontrak Wadi'ah. Pendeposit akan bertindak sebagai Muwaddi' (orang yang mengamanahkan) dan bank akan dilantik sebagai Wadi' (orang yang diamanahkan).
 
Pihak bank biasanya akan menggunakan duit yang disimpan oleh pendeposit-pendeposit dengan kebenaran mereka. Bank akan menggunakannya untuk membuat pelaburan yang mempunyai risiko yang agak rendah atau untuk menyediakan pembiayaan kepada pelanggan-pelanggan yang memerlukan.
 
Oleh kerana bank telah menggunakan deposit pelanggan tersebut, maka ia perlu menjamin deposit tersebut. Ini bermakna, walaupun bank menggunakan duit tersebut, pelanggan tetap dapat mengeluarkan simpanannya pada bila-bila masa.
 
Bagi menghargai pihak pelanggan, bank akan memberikan hibah sekiranya mendapat keuntungan.
Namun, ia tidak boleh dijanji atau ditetapkan dalam kontrak oleh mana-mana pihak kerana akan menimbulkan isu riba. Hibah tersebut hanya boleh ditentukan mengikut budi bicara bank berdasarkan pertimbangan prestasi keuntungan.
 
Dalam perbankan konvensional, pelanggan dijanjikan dengan pulangan tertentu secara tetap. Sebagai contoh 0.1 peratus hingga 0.2 peratus. Apabila keadaan ini berlaku, bank dikira sebagai meminjam daripada pelanggan. Sekiranya pinjaman itu mendatangkan manfaat yang melebihi kadar pinjaman, hukumnya adalah haram kerana ia adalah riba.
 
Ia berdasarkan sebuah Hadis yang bermaksud: "Setiap pinjaman yang membawa kepada manfaat bagi pemberi pinjam maka ia adalah riba." (lihat Naylul Awtar, As-Syawkani, 5/232)
 
Imam Ibn Qudamah pula berkata; Maksudnya: "Setiap pinjaman yang disyaratkan padanya memberi tambahan, maka ia adalah haram tanpa sebarang pertikaian." (lihat Ibn Qudamah, Al-Mughni 4/318).
 
Kesimpulannya, kontrak Wadi'ah adalah kontrak yang bersifat amanah di mana orang yang diamanahkan untuk menjaga barang tersebut tidak akan bertanggungjawab untuk menanggung ganti rugi sekiranya berlaku kerosakan dan kehilangan. Namun, sekiranya ia berlaku dengan sengaja atau di atas kecuaiannya dan beberapa faktor yang telah disebutkan, maka dia perlu menggantikannya.