Sindiket pinjaman tipu

Tarikh Disiarkan: 
23 Oct, 2012
Sumber: 
Sinarharian Online
HASNIZA HUSSAIN
 
Pihak berkuasa tidak memandang ringan terhadap kegiatan sindiket yang menawarkan pelbagai pinjaman wang bagi memperdaya orang awam.
 
Pernahkah anda berasa terganggu dan marah dengan kad nama atau risalah yang menawarkan pinjaman wang yang diterima hampir setiap hari?

Jumlah risalah yang diedarkan pula bukan sedikit, malah ia diselitkan di pagar rumah, peti pos termasuk cermin kereta tanpa mengira waktu.

Lebih teruk, risalah-risalah ini ditampal di dinding bangunan, telefon awam, perhentian bas, papan tanda jalan sehingga mencacatkan pandangan atau menyukarkan orang awam untuk mencari alamat tertentu.

Sesetengah daripada kita apabila menerima risalah ini langsung tidak melihat atau membacanya, malah terus merenyukkan kertas-kertas itu sebelum membuangnya.

Ada juga individu yang bersikap tidak mempedulikan risalah diterima dan hanya membiarkannya bersepah di depan pagar rumah sehinggalah ia luntur atau reput terkena hujan. Namun paling ramai antara kita yang memberi reaksi sebaliknya, iaitu bertindak menghubungi nombor tertera kerana terpedaya dengan tawaran pinjaman yang disangka dapat menyelesaikan masalah mereka.

Ramai yang alami kerugian mencecah puluhan ribu ringgit kerana tertipu dengan bayaran proses yang diminta suspek, sebelum suspek menghilangkan diri. Ikuti kupasan modus operandi minggu ini.

Pelaku (suspek)

  1. Terdiri daripada sindiket/berkumpulan
  2. Warga tempatan
  3. Tidak mendedahkan diri kepada mangsa
Mangsa
  1. Terdiri daripada individu/syarikat
  2. Mereka yang disenaraihitamkan oleh bank
  3. Tidak memiliki slip penyata gaji
  4. Tidak layak/lepas buat pinjaman bank
  5. Terdesak
MODUS OPERANDI

Cara penyebaran kepada orang ramai hampir menyerupai taktik ah long:

  1. Iklankan perkhidmatan dengan tampal kad perniagaan di dinding bangunan, perhentian bas, kedai makan, pusat-pusat hiburan
  2. Edarkan risalah dan kad nama yang tawarkan pinjaman wang di peti pos rumah
  3. Selitkan risalah pada cermin kereta
  4. Edarkan melalui khidmat pesanan ringkas (SMS)
Proses penipuan
  1. Mangsa yang ingin buat pinjaman akan menghubungi nombor telefon bimbit yang tertera pada kad nama/ risalah
  2. Mangsa diminta mendepositkan sebanyak lima hingga 10 peratus daripada jumlah wang dipinjam ke dalam akaun bank tertentu sebagai wang proses
  3. Penama akaun bank biasanya penagih dadah yang dibayar untuk membenarkan akaun itu digunakan sindiket
  4. Selepas memperoleh wang bayaran proses, suspek akan menghilangkan diri dan gagal dihubungi
  5. Suspek menyamar sebagai pegawai institusi kewangan dan kononnya boleh membantu dalam menguruskan pinjaman kewangan
  6. Tawarkan pinjaman cecah puluhan ribu ringgit dan akan pengaruhi mangsa untuk meminjam dalam jumlah paling maksimum bagi mendapatkan wang proses yang banyak
  7. Urusan hanya dijalankan menerusi telefon
Tip
  1. Jangan terpengaruh dengan iklaniklan yang diedarkan seperti risalah, kad nama dan poster berkaitan pinjaman wang
  2. Buat pinjaman dengan institusi kewangan dan agensi pemberi pinjam wang (PPW) yang berlesen
  3. Semak agensi PPW sama ada mereka memiliki lesen dengan bahagian pemberi pinjam wang, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan
  4. Elakkan daripada guna orang tengah atau ejen untuk urusan pinjaman tersebut
  5. Uruskan sendiri proses pinjaman dengan hadir ke syarikat PPW atau institusi kewangan yang dipilih
  6. Pastikan setiap pembayaran wang proses diberikan resit oleh syarikat PPW atau institusi kewangan yang berkenaan
Statistik (2011)
  1. Kes: 477
  2. Jumlah kerugian mangsa: RM 9 juta
  3. (Jan-Ogos 2012)
  4. Kes: 299
  5. Jumlah kerugian mangsa: RM 6 juta
Sumber: Ketua Penolong Pengarah Siasatan I (Kewangan), Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Lim Char Boo, Bahagian Siasatan Jenayah Kewangan JSJK, www.yahoo.com dan www. google.com
 
Makluman: Artikel ini dipetik secara langsung dari akhbar Sinarharian Online pada 23hb Oktober 2012.