Waktu Solat Putrajaya Subuh : 5:41 Syuruk : 6:56 Zohor : 13:00 Asar : 16:19 Maghrib : 19:00 Isyak : 20:10

Cetusan Idea :

Sejak merdeka hingga kini, Kerajaan Malaysia sentiasa beristiqamah dalam memastikan setiap usaha dan dasar yang dilaksanakan adalah berpaksikan Maqasid Syariah.

Namun, usaha murni ini dilihat oleh sesetengah pihak sebagai tidak menepati semangat dan tuntutan Islam. Hal ini berkemungkinan disebabkan oleh label atau nama yang digunakan tidak secara langsung menggunakan perkataan Islam, walaupun dari segi matlamatnya adalah Islamik.

Maqasid Syariah sememangnya telah diaplikasikan sebagai teras dalam pemerintahan di Malaysia selama ini, hanya ia belum pernah diukur pada suatu tahap sebenar. Oleh itu, telah tiba masanya suatu pendekatan serius diambil oleh Kerajaan bagi merungkai salah faham dan tanggapan segelintir rakyat Malaysia yang mengatakan sistem pentadbiran Negara ini tidak mengikut prinsip-prinsip Islam.

Beriltizam kepada perkara tersebut, YAB Perdana Menteri pada Majlis Perdana Ulama’~Umara’ pada 28 Ogos 2014 telah mencetuskan idea bagi Malaysia melakarkan satu dimensi baru, berkaitan Indeks Syariah Malaysia yang belum pernah dilaksanakan sebelum ini.

Indeks ini merupakan satu produk pelengkap tadbir urus Islam di Malaysia, yang boleh dianggap mempunyai nilai-nilai perintis. Dalam erti kata ia adalah menyeluruh, komprehensif dan yang pertama seumpamanya di dunia. Sehubungan itu, Kerajaan telah menubuhkan satu Jawatankuasa Khas yang diterajui oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) bagi memulakan usaha untuk membangunkan Indeks Syariah ini.

Jika status maju atau mundurnya sesebuah Negara itu diukur menggunakan Human Development Index (Indeks Pembangunan Manusia), maka adalah sangat perlu bagi Malaysia yang merupakan Negara Islam contoh mempunyai satu kayu ukur yang objektif dan saintifik bagi menentu ukur kedudukan dalam menjalankan pentadbiran Negara berdasarkan prinsip Maqasid Syariah.
Hasrat dan Realiti:

Indeks Syariah Malaysia merupakan satu kaedah pengukuran saintifik yang boleh menepati tiga (3) fungsi penting iaitu:
  1. Untuk menilai keseriusan usaha yang telah dilaksanakan berkaitan dasar dan program Kerajaan dari tahun ke tahun dalam menepati piawaian Islam.
  2. Untuk melihat pencapaian berdasarkan usaha yang telah dilakukan.
  3. Untuk mengenal pasti ruang-ruang penambahbaikan yang perlu diberi fokus oleh Kerajaan, agar lebih banyak menfaat hasil dari penerapan nilai-nilai sejagat dalam Islam dapat diterima.
Selaras dengan hasrat dan kesungguhan Kerajaan tersebut, YAB Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Hj. Abdul Razak, Perdana Menteri Malaysia telah melancarkan Indeks Syariah Malaysia pada 10 Februari 2015 bersempena dengan Majlis Perdana Ulama’~Umara’ 2015 di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Keunikan Model Indeks Syariah Malaysia ini terletak pada pengukuran yang lebih menyeluruh. Ia mencakupi bagi fasa permulaan ini, lapan (8) bidang utama, iaitu perundangan Islam, politik, ekonomi, pendidikan, kesihatan, budaya, prasarana dan persekitaran serta sosial.

Untuk setiap satu bidang ini, tahap penyempurnaan lima (5) aspek dalam Maqasid Syariah, iaitu pemeliharaan agama, nyawa, akal, keturunan dan harta perlu dilihat secara menyeluruh. Ukuran dan penilaian akan dibuat bagi memastikan sama ada dasar dan program yang ditetapkan oleh Kerajaan di semua kementerian dan agensi selari atau tidak dengan apa yang terkandung dalam tuntutan Maqasid Syariah.

Apa yang penting juga dalam penilaian dan ukuran ini adalah bagaimana dasar atau program itu dilaksanakan dengan adil, cekap dan tepat pada sasarannya, supaya keindahan dan rahmat di sebalik Maqasid Syariah itu dapat diaplikasikan dan akan lebih menyerlahkan kesejagatan Islam pada seluruh umat manusia tanpa mengira batas agama.

Dalam konteks ini, apabila nilai Indeks Syariah untuk satu-satu bidang yang diukur dapat diketahui tahap kepatuhan Syariah dan juga persepsi masyarakat terhadap kualiti pelaksanaan dasar serta program berkaitan, maka ia akan dapat memberi gambaran setakat mana tercapainya matlamat Syariah dalam bidang tersebut. Oleh kerana itu, Indeks Syariah Malaysia adalah berorientasikan pengukuran usaha bukannya semata-mata tahap pencapaian dalam menterjemahkan prinsip dan nilai Islam.

Bagi menggerakkan usaha dan mencapai matlamat Kerajaan dalam melaksanakan Indeks Syariah Malaysia ini, sebuah Jawatankuasa Tadbir Urus Indeks Syariah Malaysia telah ditubuhkan dan keanggotaannya telah diumumkan secara rasmi oleh YAB Perdana Menteri pada hari pelancaran tersebut. JAKIM selaku agensi penyelaras hal ehwal Islam di bawah Jabatan Perdana Menteri telah diamanahkan untuk merealisasikan hasrat ini dan selaras dengan itu Unit Indeks Syariah Malaysia telah ditubuhkan berkuatkuasa mulai 1 April 2015 dengan Hala Tuju Strategik yang telah digariskan.
 
 
ism logo
 
Unit Indeks Syariah Malaysia
Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Aras 5, Blok A, Kompleks Islam Putrajaya
62000 PUTRAJAYA
Tel: 03-88707217/7218
Faks: 03-88707222
 
 



QR Code Portal Jakim
Hakcipta © 2015 Jabatan Kemajuan Islam Malaysia
Kerajaan Malaysia dan JAKIM tidak bertanggungjawab atas kerugian atau kerosakan yang disebabkan oleh penggunaan dari setiap maklumat yang diperolehi daripada portal ini. Sesuai dilayari dengan menggunakan Internet Explorer versi 8 atau Mozilla Firefox versi 3 ke atas (dengan resolusi 1024 x 768)
Kemaskini Terakhir : 23 Oktober 2017.
Jumlah Pelawat :12077061